Rabu, 11 Ogos 2010

Hikmah ibadah puasa



Ibadah puasa merupakan sebaik-baik ibadah dan seagung-agung ketaatan kepada Allah Taala. Ia dinyatakan di dalam nas sama ada al-Quran mahupun As-Sunnah. Di antara kelebihan ibadah puasa di bulan Ramadan ialah:

Pertama: Ia difardukan ke atas semua umat sepanjang zaman. Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Difardukan atas kamu berpuasa sebagaimana difardukan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa. (al-Baqarah : 183)

Kedua: Ia adalah merupakan penyebab kepada keampunan daripada dosa dan kemaksiatan yang dilakukan. Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW telah bersabda: Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka diampunkan dosanya yang telah lalu. (riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

Apa yang dimaksudkan dengan berpuasa sepenuh keimanan ialah reda sepenuhnya dengan apa yang diperintahkan oleh Allah, manakala pengharapan pula bermaksud mengharapkan ganjaran pahala dari-Nya dan tidak ada perasaan syak terhadap janji-janji Allah SWT tersebut. Dengan itu orang yang berpuasa akan diampun dosanya yang telah dilakukan.

Abu Hurairah r.a juga meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Solat lima waktu, solat Jumaat hingga solat Jumaat berikutnya dan Ramadan (puasa) hingga Ramadan berikutnya adalah merupakan penebus dosa di antara selagi mana dosa-dosa besar dijauhi. (riwayat Imam Muslim).

Ketiga: Puasa Ramadan juga tidak terhad pahalanya atau terikat dengan kadar tertentu kerana orang yang berpuasa akan diberi ganjaran yang hanya ditentukan oleh Allah.

Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w bersabda bahawa Allah SWT berfirman (Hadis Qudsi): Setiap amalan anak Adam adalah baginya (pahala menurut kadar yang ditentukan) kecuali puasa, sesungguhnya ia bagi-Ku dan Aku yang mengganjarinya secara khusus.

Puasa itu adalah benteng, oleh itu apabila kamu berpuasa maka janganlah kamu berkata keji dan berbuat nista, jika ada orang mencela kamu atau mengajak kamu bergaduh maka katakanlah kepadanya, “Saya sedang berpuasa”. Demi Tuhan yang nyawa Muhammad dalam genggaman tangan-Nya (kuasa-Nya), sesungguhnya bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah dari bau kasturi. Bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan, pertama; kegembiraan ketika berbuka dan kedua; kegembiraan ketika bertemu dengan Tuhannya kelak. (riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim).

Hadis di atas menjelaskan dua kelebihan yang diperolehi dari ibadah puasa Ramadan iaitu:

1) Allah SWT mengkhususkan ibadah puasa dibandingkan dengan semua ibadah yang lain kerana kemuliaan-Nya dan kesukaan-Nya kepada ibadah puasa.

Ini kerana ibadah puasa adalah merupakan kerahsiaan yang membuktikan sejauhmana keikhlasan dan keimanan seorang hamba terhadap Allah.

Orang yang berpuasa boleh sahaja melakukan apa yang diharamkan oleh Allah seperti makan minum di siang hari kerana orang ramai tidak mengetahuinya, tetapi ia tidak melakukannya kerana yakin akan pengawasan Allah dan bimbang akan kemurkaan-Nya.

Oleh itu Allah SWT amat menghargai sikap ini maka ibadah puasa menjadi satu-satunya ibadah yang dikhususkan pahalanya oleh Allah.

2) Allah sendiri yang menegaskan bahawa, “Aku yang memberikan pahala ibadah puasa dan menisbahkan ganjaran kepada-Nya”. Sedangkan amal soleh yang lain dinyatakan ganjarannya iaitu dengan bilangan. Yakni setiap kebaikan dibalas dengan 10 pahala ganjaran hingga 700 kali ganda dan seterusnya.

Namun, ibadah puasa Allah SWT yang menentukannya tanpa diketahui jumlah atau bilangan pahala seperti mana ibadah-ibadah lain. Ini bermakna pahala puasa pastinya begitu besar dan tidak terhitung banyaknya.

Ini kerana puasa adalah merupakan latihan kesabaran di dalam mentaati Allah dan kesabaran di dalam menjauhi larangan-Nya serta kesabaran di dalam menanggung lapar, dahaga, kelemahan tubuh badan.

Dengan puasa juga ketiga-tiga bentuk kesabaran iaitu lapar, dahaga dan keletihan tubuh bergabung hingga melayakkan orang yang berpuasa termasuk di kalangan hamba Allah yang benar-benar sabar..


SUMBER ARTIKEL:
http://www.srikasih.co.cc/2008/09/kelebihan-puasa-ramadan.html

1 ulasan:

Khairunnisa' berkata...

TERBAIK! :)

Terima kasih for sharing.

love me? tinggalkan jejak pas follow tau..so tat cik starzz ley follow korunk balik ye